Rakan saya Christine dan suaminya, duduk makan malam di rumah makcik dan pakcik mereka. Ibu saudaranya baru-baru ini disahkan menghidap kanser yang agresif. Sebelum seseorang mula makan, bapa saudaranya bertanya, “Adakah sesiapa ingin berkata apa-apa?” Christine tersenyum kerana dia tahu apa yang dimaksudkan oleh pak ciknya, “Adakah sesiapa mahu berdoa?” Walaupun bapa saudaranya bukan seorang yang percaya kepada Yesus, dia tahu Christine seorang Kristian, jadi inilah caranya untuk mengajak dia berdoa. Dengan penuh keikhlasan, Christine bersyukur kepada Tuhan atas penjagaan-Nya dan memohon agar Dia melakukan mukjizat untuk ibu saudaranya.

Raja Hizkia jatuh sakit dan ingin meluahkan isi hatinya kepada Tuhan selepas nabi Yesaya memberitahunya bahawa dia akan mati (Yesaya 38:1). Dia “menangis tersedu-sedu” dan memohon, “Ingat betapa aku telah hidup di hadapan-Mu dengan setia dan tulus hati” (ayat 3). Itu adalah rayuannya yang jujur dan terdesak untuk memohon kesembuhan. Walaupun penyembuhan tidak bergantung pada “kebaikan” kita, dan Tuhan tidak selalu menyembuhkan, Dia memilih untuk melanjutkan umur raja ini selama lima belas tahun (ayat 5). Selepas sembuh, Hizkia bersyukur dan memuji Tuhan (ayat 16).

Tuhan mengajak kita untuk berdoa—sama ada untuk keperluan yang mendesak ataupun mengucap syukur untuk sesuatu yang kecil atau penting. Dia mendengar doa kita, melihat air mata kita, dan akan menjawab mengikut rancangan-Nya. Apa yang perlu kita lakukan adalah, “berjalan perlahan-lahan sepanjang usia hidup [kita],” bersama-Nya (ayat 15).