Dalam perjalanan ke Montana pada suatu musim panas, kami berhenti di kawasan rehat untuk meregangkan kaki. Di dalam salah sebuah bangunan itu terdapat seorang lelaki muda yang sedang menyanyikan lagu pujian, “It Is Well with My Soul” (Tenanglah jiwaku) sambil mengemop lantai. Saya tidak dapat menahan diri lalu turut bernyanyi. Ketika dia menyanyikan korus “it is well,” (Tenanglah), saya terus mengulangi kata-kata itu. Bersama-sama, kami menyanyikan baris terakhir: “It is well, it is well … with my soul!” (Tenanglah, tenanglah … jiwaku!). Dia tersengih dan menepuk tangan, serta berkata, “Puji Tuhan!” Apabila saya kembali ke kereta, yang suami saya sedang menunggu, dia bertanya, “Kenapa kamu senyum lebar?”

Fikirkanlah perkara-perkara yang kita patut memuji Tuhan, seperti kebaikan, keadilan, belas kasihan, janji, penyediaan, dan perlindungan-Nya. Mazmur 145 adalah salah satu mazmur yang menggesa kita untuk terus memuji Dia. Daud menulis, “Setiap hari aku akan memuji-Mu” (ayat 2). Ramai orang memuji Tuhan dengan memainkan alat muzik; yang lain pula dengan membaca atau menghafal Kitab Suci; atau dengan menyanyikan mazmur, pujian, dan lagu-lagu rohani (Kolose 3:16). Ada juga yang menyatakan pujian mereka melalui irama liturgi. Tetapi semua pujian yang tulen timbul dari hati yang penuh dengan kesyukuran.

Roh kita dicipta untuk memuji Tuhan. Kerana kasih pengorbanan-Nya kepada kita, kita boleh berkata dengan yakin, “Tenanglah jiwaku!”