Setiap musim gugur semasa waktu kecil saya, nenek selalu mendapatkan katalog Krismas dari sebuah gedung pakaian, JCPenney. Dengan amat gembira, saya membukanya untuk melihat gambar-gambar yang sungguh menarik.
Kini, gambar-gambar seperti itu muncul di skrin telefon pintar kita setiap hari—hasil algoritma yang menyaring harapan dan impian kita, dan disesuaikan mengikut kehendak kita secara peribadi. Sangat mudah untuk terperangkap di dalamnya. Baru-baru ini, para pakar menamakan fenomena digital ini sebagai dreamscrolling (melayari gambar atau video tentang perkara yang diimpikan untuk dimiliki atau dilakukan). Satu tinjauan yang dijalankan oleh OnePoll menunjukkan bahawa purata pengguna telefon pintar di Amerika Syarikat yang melakukan dreamscrolling adalah lebih daripada dua jam sehari! Gambar-gambar yang memikat hati kita membuat kita berharap dan percaya, bahawa jika kita memiliki satu benda pun, semuanya akan menjadi sempurna.
Sebaliknya, Alkitab mengajak kita untuk melepaskan cengkaman kita terhadap benda-benda duniawi. Dalam 1 Petrus 1:3-4 tertulisnya, “Kerana belas kasihan-Nya yang amat besar Dia telah mengurniai kita kelahiran baru dengan membangkitkan Yesus Kristus daripada kematian. Dengan demikian, kita hidup dengan harapan yang tidak akan binasa, dan kita mengharapkan warisan yang tidak mungkin reput, tercemar atau lenyap.” Petrus membandingkan kerinduan duniawi kita dengan janji yang benar-benar memuaskan: meletakkan harapan kita pada rahmat Tuhan. Kemudian, dia menambah, “Sandarkanlah harapan kepada kasih kurnia yang akan kamu terima apabila Yesus Kristus menyatakan diri-Nya kelak” (ayat 13).
Sejujurnya, saya seorang dreamscroller (pencari harapan kosong dalam skrin). Tetapi saya meminta Tuhan menolong saya untuk belajar bersandar pada harapan yang lebih besar, untuk meletakkan keinginan hati saya sepenuhnya kepada-Nya.
