Apabila sebuah negara dilanda perang saudara, seorang lelaki telah dikerah masuk tentera oleh pihak berkuasa. Bagaimanapun, dia membantah: “Saya tidak mahu ambil bahagian dalam memusnahkan [negara saya].” Maka, dia pun meninggalkan negara itu. Bagaimanapun, oleh sebab dia tidak mempunyai visa yang sah, , akhirnya dia terkandas di sebuah lapangan terbang di negara lain. Selama berbulan-bulan, para pekerja lapangan terbang memberi lelaki itu makanan, dan ribuan orang mengikuti perkembangan hidupnya melalui media sosial Twitter ketika dia merayau-rayau di terminal, mengait selendang, dan terus berpegang pada harapan. Setelah mendapat tahu tentang kesusahan lelaki itu yang berpanjangan, sebuah komuniti di Kanada mengumpul dana dan berjaya mencarikan pekerjaan serta tempat tinggal untuknya

Kitab Ratapan membentangkan seruan Yeremia, yang menanti-nantikan Tuhan dan pengakhiran hukuman-Nya terhadap dosa umat-Nya. Dia tetap yakin kepada Tuhan yang kekal, yang dipercayainya sepenuh hati. “TUHAN itu baik bagi orang yang menanti-nantikan Dia” (Ratapan 3:25). Umat Tuhan dapat mengalami pengharapan walaupun dalam kesusahan dan kelihatan mustahil. Walaupun mereka mungkin perlu dengan rendah hati menerima disiplin Tuhan, mereka boleh berpegang pada realiti bahawa “mungkin masih lagi ada harapan” (ayat 29). Mereka yang mengenal Tuhan dapat mengalami harapan yang mengalir daripada-Nya. “Baik jika seseorang menanti dengan tenang akan penyelamatan daripada TUHAN” (ayat 26).

Walaupun belum ada jawapan atau jalan keluar yang jelas, kita tetap menantikan Tuhan, yang telah berulang kali membuktikan kesetiaan-Nya untuk menolong kita.