Setiap hari Julie mula menyanyikan ayat-ayat Alkitab pada waktu saat teduhnya. “Semasa saya menyanyi, hati dan fikiran saya mula melakukan dan mempercayai apa yang saya nyanyikan!” Dengan melagukan firman Tuhan, Julie mahu kebenaran Tuhan membantu dia memamahi dengan lebih baik perkara-perkara yang dia tidak suka berkenaan dirinya sendiri, misalnya suara dan ketinggiannya.
Katanya, “Saya mula menyanyikan Kidung Agung 1:5: ‘Memang aku hitam, tetapi elok’ ” (Dalam budaya bertani ketika itu, wanita yang berkulit gelap akibat terdedah kepada cahaya matahari tidak dianggap cantik.) Namun, ketika menyanyikan ayat ini, Tuhan mengubah pemikirannya. Tiba-tiba dia mengerti: “Tuhan mengasihi saya walaupun saya tidak sempurna.”
Julie menyanyikan satu puisi yang indah daripada Kidung Agung dalam Perjanjian Lama. Sesetengah orang mentafsirkan Kidung Agung sebagai kiasan tentang kasih Tuhan kepada umat-Nya, tetapi ramai yang menganggapnya sebagai episod cinta dalam perkahwinan. Dengan menyaksikan keindahan komitmen pasangan tersebut antara satu sama lain, kita boleh mengulangi kata-kata para sahabat mereka: “Kami akan menyanjung cintamu lebih daripada air anggur” (ayat 4).
Apa cara pun kita mentafsirkan kata-kata yang bersejarah ini, kita boleh mengakui bersama Julie bahawa Tuhan bersukacita atas umat pilihan-Nya. Seperti yang dinyatakan-Nya dalam ayat lain dalam Perjanjian Lama: “Engkau berharga dan mulia di mata-Ku, dan … Aku ini mengasihi engkau” (Yesaya 43:4).
