Penduduk tempatan memanggilnya “Jalan Yang Tidak Ke Mana-Mana”, tetapi nama rasminya ialah Jalan Lakeview. Ia merupakan satu laluan yang indah sejauh kira-kira 9 kilometer, yang menghadap ke Tasik Fontana di Taman Negara Pergunungan Great Smoky berhampiran Bryson City, Carolina Utara. Selepas melalui sebuah terowong sepanjang kira-kira 366 meter, yang dibina dengan meletupkan bahagian lereng gunung granit, jalan itu tiba-tiba berakhir. Kerajaan telah membelanjakan berjuta-juta dolar untuk pembinaan ini, namun projek tersebut terpaksa dihentikan setelah kebimbangan berkaitan alam sekitar timbul selepas itu.
Yesus, yang bekerja sebagai tukang kayu, pernah menceritakan satu perumpamaan tentang pembinaan untuk menggambarkan pentingnya mengira harga dalam hal mengikut Dia. Dia berkata, “Jika seseorang antara kamu ingin membina sebuah menara, dia akan terlebih dahulu duduk dan menganggarkan perbelanjaannya untuk memastikan sama ada dia mempunyai wang yang cukup untuk menyiapkan pembinaan itu” (Lukas 14:28). Perumpamaan lain ialah tentang seorang raja yang mengira kos untuk pergi berperang, dan dia membuat perkara yang sama. Yesus berkata demikian kepada orang ramai yang sedang mengiringi-Nya (ayat 25), kerana Dia mahu mereka memahami bahawa ada harga yang perlu dibayar untuk mempercayai dan mengikut Dia dengan sepenuh hati.
Mengikuti Yesus hanya kerana apa yang boleh dilakukan-Nya untuk kita adalah ibarat “jalan yang tidak ke mana-mana.” Tetapi mengikut Dia kerana siapa Dia sebenarnya—setiap hari meninggalkan dosa dan fokus untuk hidup bagi Dia dan kerajaan-Nya (memikul “salib” kita, seperti yang dikatakan-Nya dalam ayat 27)—pasti mengubah segala-galanya. Harganya mesti dikira. Tetapi mengikut Yesus memang berbaloi.
