Pakar Perubatan, Christian Ntizimira merasakan panggilan Tuhan untuk memberikan penjagaan akhir hayat ke kawasan-kawasan yang kekurangan sumber di, negara asalnya, Rwanda, Afrika Ramai rakan sekerjanya beranggapan bahawa penjagaan sedemikian tidak berguna kerana “para pesakit yang sedang nazak tiada lagi harapan boleh diselamatkan”. Tetapi Ntizimira mendapati bahawa bagi pesakit dan keluarga mereka, “kehadirannya memberikan harapan walaupun semuanya kelihatan tiada harapan.” Ntizimira berpegang teguh kepada keyakinan bahawa kematian dan kehidupan Yesus mengubah cara kita menghadapi kematian, kerana “kematian Kristus ialah sumber kehidupan.”
Dalam 2 Timotius, rasul Paulus memberi kesaksian tentang bagaimana realiti bahawa Yesus “yang melenyapkan kematian dan memberikan penerangan tentang hidup kekal selama-lamanya melalui Injil” (2 Timotius 1:10) telah mengubah cara dia memahami penderitaannya. Walaupun Paulus adalah seorang tahanan yang menghadapi kemungkinan hukuman mati (2 Timotius 2:9), kebangkitan Yesus adalah asas panggilannya—untuk menunjukkan kepada orang lain tentang keselamatan melalui Kristus (ayat 10). Kerana “Jika kita mati bersama-Nya, kita juga akan hidup bersama-Nya; jika kita tabah, kita juga akan memerintah bersama-Nya” (ayat 11-12).
Mati bersama Yesus bukan sahaja merujuk kepada kematian fizikal orang yang percaya kepada-Nya. Dalam suratnya kepada jemaah di Roma, Paulus menjelaskan bahawa, sebagaimana yang dilambangkan dalam pembaptisan, orang yang percaya kepada Yesus dipersatukan dengan Roh Kristus dalam kematian dan kebangkitan-Nya (Roma 6:4-8).
Oleh sebab Kristus hidup di dalam kita, maka walaupun kita menghadapi kengerian kematian, kita tetap dapat hidup bagi Dia dan memberi kesaksian tentang-Nya.
