Projek bebas yang saya kerjakan tidak berjalan dengan lancar. Pelanggan menuntut sesuatu yang kelihatan mustahil, dan saya menjadi tertekan dan rasa putus asa. Reaksi pertama saya adalah ingin menyerah saja, tetapi itu juga bermaksud saya tidak akan mendapat bayaran untuk kerja yang saya telah lakukan, bahkan kemungkinan kehilangan peluang projek masa depan bersama mereka. Kemudian saya terfikir: Sudahkah kamu berdoa kepada Tuhan? Saya pun tersentak, menepuk dahi sendiri kerana sedar saya telah lupa meminta pertolongan Tuhan! Maka saya lantas berdoa … dan serta-merta berasa lebih lega. Situasi tidak berubah—projek itu tetap mencabar—tetapi saya merasakan ketenangan menyelubungi saya. Sekarang saya tahu saya boleh berserah kepada Tuhan: Saya akan melakukan yang terbaik, dan menyerahkan hasilnya kepada Tuhan.
Mungkin Daud merasakan hal yang sama apabila dia menyerahkan ketakutan dan kebimbangannya kepada Tuhan. Dalam Mazmur 6, dia memulakan doanya dengan meluahkan kepedihan hatinya kerana diburu oleh musuh-musuhnya (ayat 3, 7). Tetapi apabila dia terus berpaling kepada Tuhan untuk memohon pertolongan, dia mulai berasa yakin dan dikuatkan: “TUHAN telah mendengar jeritanku memohon belas kasihan; TUHAN menerima doaku” (ayat 9).
Kebenaran ini memberinya harapan bahawa dia akan dibebaskan daripada ketakutannya, mengikut masa dan cara yang ditentukan oleh Tuhan (ayat 10). Doa bukanlah sekadar teknik untuk membuat kita berasa lebih baik, tetapi ia merupakan hubungan langsung dengan Dia yang Maha Melihat, Maha Kuasa, yang akan menolong kita menurut kehendak dan waktu-Nya. Adakah anda sedang berasa tertekan atau putus asa? Berdoalah—Tuhan mendengar.
