Adakah anda pernah berasa seperti seorang penipu? Anda tidak bersendirian! Pada akhir 1970-an, dua orang penyelidik mengenal pasti “sindrom penipu” sebagai satu keadaan yang membuat seseorang meragui kemahiran, bakat, atau kebolehannya sendiri, sehingga menganggap dirinya sebagai seorang penipu. Malah, ramai individu yang berjaya dan bijak turut bergelut dengan perasaan tidak cukup layak, bimbang sekiranya orang lain mengetahui keadaan sebenar diri mereka—ada banyak sekali hal yang mereka tidak tahu walaupun mereka sudah mencapai kejayaan dalam hidup.
Paulus menasihati jemaah gereja abad pertama di Roma agar mereka hidup dengan rendah hati: “Janganlah nilai dirimu lebih tinggi daripada sepatutnya, sebaliknya nilailah dirimu sewajarnya” (Roma 12:3). Kita memahami kepentingan untuk tidak menunjuk-nunjuk kebolehan kita. Tetapi apabila kita meragui nilai diri kita sendiri, itu juga boleh menjadi berlebihan, sehingga kita menafikan orang lain daripada menerima kurnia yang Tuhan mahu kita gunakan untuk melayani-Nya. Untuk memikirkan diri kita dengan penilaian yang “sewajarnya” (ayat 3), ini bermaksud kita menilai diri secara waras dan realistik—dengan kesedaran tentang siapa kita dan apa yang kita boleh sumbangkan. Paulus menyeru kita supaya mengatasi keraguan kita, dan menerima siapa diri kita “selaras dengan kadar iman yang telah diberikan Allah kepada setiap orang” (ayat 3). Dengan cara ini, tubuh Kristus—iaitu umat Tuhan—akan dibangunkan dan dikuatkan bersama (ayat 4-8).
Marilah kita menerima pemberian Tuhan dalam diri kita, bukannya merendah-rendahkan kebolehan kita dengan sindrom penipu. Dengan mensyukuri kasih kurnia-Nya, kita akan belajar untuk tidak memandang diri kita terlalu tinggi ataupun terlalu rendah. Dengan berbuat demikian, kita menyenangkan hati Bapa kita dan membangun tubuh Kristus, iaitu umat Tuhan.
