Mario ialah seorang penagih alkohol dan dadah yang berusia dua puluh lapan tahun serta telah dipenjarakan kerana jenayah pecah rumah. Semasa hukuman dijatuhkan, hakim berkata bahawa dia “mensia-siakan hidupnya.” Mario dengan sedih menyedari kata-kata hakim itu benar. Pada pertengahan tempoh hukumannya, dia terlihat iklan untuk pertandingan kewartawanan. Ini menarik minat Mario, dia pun mendaftar di sebuah universiti berdekatan. Dari situ, minatnya berkobar-kobar. Mario suka belajar mengarang berita, dan selepas dibebaskan dia menamatkan ijazah sarjananya dalam kewartawanan, dan kini menjadi penulis untuk khabar The New York Times. Hidupnya tidak disia-siakannya lagi!

Di dalam Alkitab, ada seorang lelaki yang dirasuk oleh jahat. Dia tinggal di kawasan perkuburan. Kehidupannya kelihatan sia-sia bagi semua orang yang mengenalinya.. Orang sekeliling terpaksa mengikatnya dengan rantai untuk melindungi lelaki itu serta diri mereka, “tetapi dapat diputuskannya rantai itu dan dipatahkannya belenggu itu” (Markus 5:4). Dia berlari kembali ke kawasan perkuburan, “siang dan malam … sambil menjerit-jerit dan mencederakan badannya dengan batu” (ayat 5). Namun, kemudian hidupnya diubah selama-lamanya.

Yesus mengusir roh-roh jahat keluar daripada lelaki itu dan memulihkan hidupnya sehingga dia kembali diterima dalam masyarakat. Seluruh penduduk kota begitu kagum apabila mendapati dia “kini duduk diam, sudah berpakaian dan ternyata siuman” (ayat 15). Lelaki yang bersyukur itu ingin belayar bersama Kristus, tetapi Yesus tidak membenarkannya, sebaliknya berkata, “Pulanglah kepada keluargamu, kepada orang sekampungmu. Beritahu mereka betapa besarnya pertolongan Tuhan bagimu dan bagaimana Dia telah berbelas kasihan kepada kamu” (ayat 19).

Misi lelaki ini kini menjadi misi kita juga. Mari beritahu orang lain tentang Kristus. Kerana Dia, tiada satu pun kehidupan yang sia-sia.