Semasa saya masih kecil, saya suka lagu lama bertajuk “Count Your Blessings” (Hitunglah Berkatmu). Lagu ini menggalakkan mereka yang “dipukul ribut kehidupan” dan “berasa seolah-olah segala-galanya telah hilang” untuk “hitunglah berkatmu, sebutkan satu demi satu.” Bertahun-tahun kemudian apabila suami saya, Alan, berasa tawar hati, dia sering meminta saya menyanyikan lagu itu kepadanya. Kemudian saya akan membantunya untuk menghitung berkat-berkat yang dinikmatinya. Tindakan itu mengalihkan perhatian Alan daripada pergelutan dan keraguannya, lalu memusatkan semula pemikirannya kepada Tuhan dan alasan-alasannya untuk bersyukur.
Kitab Ezra menggambarkan umat Tuhan menghadapi cabaran yang amat berat, namun mereka mengatasinya dengan memberi tumpuan kepada kuasa dan rahmat Tuhan. Setelah beberapa dekad hidup dalam pembuangan di Babel, Raja Kores memberi izin kepada orang buangan Yahudi kembali ke Israel untuk membina semula Bait Suci (Ezra 1-2). Namun, hanya sebahagian kecil yang kembali (Ezra 2:64). Walaupun mereka “berasa takut kepada bangsa-bangsa negeri itu” dan tugas yang besar menanti mereka, mereka tetap membina semula mezbah dan meletakkan asas Bait Suci (Ezra 3:3, 10). Kemudian “mereka menyanyi secara berbalas-balasan sambil memuji dan mengucap syukur kepada TUHAN: “Kerana Dia baik, kasih-Nya kekal selama-lamanya terhadap Israel.” Seluruh rakyat bersorak-sorai dengan suara yang nyaring sambil memuji TUHAN” (3:11).
Jika anda sedang tawar hati atau menghadapi halangan yang kelihatan mustahil untuk diatasi, alihkan fikiran anda kepada Tuhan. “Berkat Tuhan, mari hitunglah, Kau ‘kan kagum oleh kasih-Nya.” Hari ini, Tuhan masih melakukan keajaiban bagi setiap orang yang mengasihi-Nya.
