Pada 29 Mei 1925, Percy Fawcett menghantar surat terakhir kepada isterinya sebelum dia meneroka lebih jauh ke dalam hutan rimba Brazil yang tidak wujud dalam peta. Dia sedang mencari sebuah kota dongeng yang hilang dan terkenal dengan kemegahan yang hebat, dan berazam untuk menjadi penjelajah pertama yang berkongsi lokasinya dengan dunia selepas bertahun-tahun mencari. Tetapi pasukan penjelajahnya tersesat, kota itu tidak pernah ditemui, dan banyak ekspedisi lain juga gagal menemukannya.

Walaupun Percy menunjukkan keberanian dan semangat yangmengagumkan, sayang sekali segalanya disia-siakan demi sebuah kota yang mustahil dicapai. Pada hakikatnya, terdapat banyak matlamat dalam hidup kita yang juga tidak dapat dicapai tetapi tetap menguasai hati kita. Namun ada harta sebenar untuk setiap orang yang patut kita cari dengan sepenuh hati, fikiran dan kekuatan.

Dalam suratnya kepada orang-orang percaya di Filipi, Paulus menyatakan begini: “Bahkan segala perkara kukira rugi berbanding keagungan mengenal Kristus Yesus, Tuhanku” (Filipi 3:8). Tidak seperti kota dongeng yang menjanjikan kekayaan, kemasyhuran, atau kuasa, mengenal Yesus dan percaya kepada-Nya ialah harta yang tiada tandingannya. Segala matlamat duniawi seperti kuasa, status, bahkan menjalani kehidupan yang salih dengan taat sepenuhnya pada hukum Taurat, tidak ada nilainya jika dibandingkan dengan mengenal Yesus (ayat 6-7). Adakah kita sedang menghabiskan masa dan tenaga kita untuk sesuatu yang tidak dapat memuaskan hati? Semoga Kristus menolong kita menyemak semula apa “kota” sebenarnya yang sedang kita cari.