Mary Flannery O’Connor, atau lebih dikenali sebagai Flannery O’Connor, ialah salah seorang penulis Amerika Selatan yang paling terkenal. Karyanya penuh dengan tema penderitaan dan rahmat. Apabila bapa yang dikasihinya meninggal dunia akibat penyakit lupus ketika dia berusia lima belas tahun, O’Connor yang sangat sedih, menumpukan sepenuh hati dalam penulisan novel pertamanya. Tidak lama kemudian dia juga disahkan menghidap lupus, penyakit autoimun yang tidak dapat diubati, yang akhirnya meragut nyawanya pada usia tiga puluh sembilan tahun. Penulisan O’Connor menggambarkan penderitaan fizikal dan mentalnya. Novelis Alice McDermott pernah berkata, “Saya fikir, penyakit itulah yang menjadikan dia penulis seperti itu.”
Kita tidak tahu apakah “duri” yang dimaksudkan oleh rasul Paulus (2 Korintus 12:7), walaupun ramai orang telah membuat pelbagai andaian. Namun, kita tahu bahawa Paulus berkata, “Sudah tiga kali aku memohon kepada Tuhan supaya seksa ini disisihkan daripadaku” (ayat 8). Kita juga tahu bahawa Tuhan tidak mengabulkan permohonannya (ayat 9). Duri ini merendahkan hati Paul. Dia menyatakan bahawa duri itu telah menghalangnya daripada “meninggikan diri” (ayat 7, TB). Duri itu telah membentuk Paulus dan menjadikan dia rasul yang sangat dihargai Tuhan. Namun penderitaan itu bukan segalanya, kerana dengan duri itu datanglah rahmat Tuhan yang cukup dan kekuatan-Nya menjadi nyata sekali dalam kelemahan manusia. Sebab itu rasul Paulus yang terseksa dapat menyatakan, “kerana apabila aku lemah, ketika itulah aku kuat” (ayat 10).
Walau apa pun duri-duri dalam hidup kita, semua ini sedang membentuk kita. Penderitaan dan kelemahan yang kita alami menjadikan kita siapa kita. Namun, duri bukanlah segalanya. Seperti yang telah disaksikan oleh Paulus, Flannery O’Connor, dan ramai lagi sepanjang sejarah manusia, rahmat Tuhan sentiasa cukup bagi kita.
