Semasa saya membuka manual pemasangan rak buku dengan papan-papan dan alat-alat berselerak di lantai, saya melihat satu set gambar rajah arahan tentang apa yang perlu dan tidak perlu dilakukan. Satu gambar rajah—dengan tanda X besar di atasnya—memaparkan seseorang sedang merenung timbunan papan dan alat-alat lain dengan muka kebingungan, agak sama dengan perasaan saya beberapa minit sebelum itu. Di sebelah kanan gambar itu pula dilukis dengan cara-cara pemasangan yang “betul”. Apa yang berbeza? Seorang watak telah ditambah ke dalam gambar itu. Kedua-dua mereka kini tersenyum sambil bekerjasama.
Jadi saya memanggil suami saya. “Manual ini kata saya perlukan bantuan awak,” saya berkata sambil menunjukkan gambar itu. Dia ketawa, dan kami pun memasangnya bersama. Saya sebenarnya boleh berdegil untuk cuba memasang sendiri. Tetapi manual itu betul; proses ini bukan untuk dilakukan seorang diri.
Dalam Roma 12, Paulus menasihati orang-orang seiman baru supaya tidak mencuba menjalani kehidupan dalam Yesus seorang diri. Mereka perlu mengelak diri daripada menganggap diri mereka mampu menampung keperluan sendiri dan menilai diri mereka “lebih tinggi daripada yang sepatutnya” (ayat 3). Sebaliknya, mereka perlu melihat diri mereka sebagai sebahagian tubuh yang saling bergantung, bahawa setiap anggota memerlukan bantuan antara satu sama lain (ayat 4-8).
Apabila Yesus membantu kita belajar untuk “bersikap baik dan mengasihi sesama sendiri dengan kasih persaudaraan, serta saling menghormati dan mengutamakan” (ayat 10), kita boleh menghayati kehidupan “dalam keharmonian” bersama, dan saling menanggung keperluan, kesedihan, dan kegembiraan (ayat 13, 15).
