Pada akhir abad ke-19, hanya segelintir orang berpeluang untuk melihat kawasan pokok sequoia yang besar di Amerika Syarikat. Jadi, ramai orang tidak mempercayai laporan tentang pokok-pokok yang sangat besar itu. Namun, pada tahun 1892, empat orang penebang pokok telah memberanikan diri untuk masuk ke Hutan “Big Stump” di California dan menghabiskan tiga belas hari untuk menebang sebatang pokok besar yang dinamakan Mark Twain. Pokok Twain berusia 1,341 tahun, setinggi lebih kurang 90 meter, dan mempunyai lilitan batang pokok lebih kurang 15 meter. Seorang pemerhati menggambarkan pokok Twain sebagai pokok “yang memiliki bentuk yang sangat menakjubkan, salah satu pokok yang paling sempurna di kawasan itu.” Walaupun pokok yang luar biasa ini telah ditebang, sebahagiannya yang indah telah dihantar ke Muzium Sejarah Alam Amerika supaya semua orang boleh melihat pokok sequoia tersebut.
Namun hakikatnya, kita tidak dapat membuktikan setiap kebenaran hanya dengan mata kasar kita. Kitab Ibrani menerangkan iman sebagai “Iman adalah kepastian akan perkara-perkara yang diharapkan, keyakinan akan perkara-perkara yang tidak dilihat” (Ibrani 11:1). Iman bukanlah sesuatu yang tidak rasional atau sekadar angan-angan, kerana keseluruhan kisahnya berpusat pada seorang—Yesus—yang telah memasuki sejarah manusia. Iman melibatkan pancaindera dan akal manusia, tetapi ia tidak terhad kepada itu sahaja: Kitab Ibrani mengatakan, “Melalui iman kita mengerti bahawa semesta alam dibentuk dengan firman Allah. Nyatalah bahawa segala yang dilihat sekarang tidak dicipta daripada benda yang dapat dilihat” (ayat 3).
Kita selalunya sukar untuk mempercayai sesuatu yang kita tidak dapat sentuh, lihat, atau fahami sepenuhnya. Tetapi iman kita kepada Kristus, yang dimungkinkan oleh Roh Kudus, membantu kita untuk percaya lebih daripada apa yang kita dapat lihat.
