Setiap malam Khamis, apabila Brenda dan Eddie masuk ke dalam kereta, dialog ini akan bermula. “Awak nak makan di mana?” “Oh, Eddie, saya tak kisah, mana-mana pun boleh saja.” Eddie sudah biasa dengan jawapan ini. “Baiklah, apa kata kita pergi Restoran ‘The Windmill’?” Brenda tiba-tiba membantah. “Jangan, mana-mana saja asalkan bukan di situ!” Eddie mengeluh. “Jadi, di manalah?” Brenda tetap berkata, “Hmm, mana-mana pun boleh.”
Situasi ini sangat mirip dengan adegan komedi yang biasa kita lihat, lucu bagi yang menonton, kerana kita tahu, jika kita berada di tempat Eddie, kita pasti akan rasa sangat geram!
Kadang-kadang, doa kita juga boleh jadi begini—terlalu umum atau samar. Sebaliknya, doa dalam Daniel 9 menunjukkan bagaimana Daniel berdoa dengan jelas dan berani tentang apa yang diinginkannya. Mula-mula, dia mengakui dosa bangsanya: “Kami telah berdosa dan berbuat salah” (ayat 5). Kemudian dia menyatakan permintaannya: “Sekarang, ya Tuhan kami, dengarlah doa hamba-Mu dan permohonan-permohonannya” (ayat 17). “Ya Tuhan, dengarlah! Ya Tuhan, ampunilah! Ya Tuhan, perhatikan dan bertindaklah!” (ayat 19). Tuhan tidak berhutang apa-apa kepada Daniel, tetapi oleh sebab Daniel sangat mempercayai “rahmat [Tuhan] yang besar” (ayat 18), dia berasa bebas untuk membawa segala kerinduan hatinya kepada Tuhan.
Memang selalu tepat untuk berdoa, “bukanlah seperti yang Kukehendaki, melainkan seperti yang Kaukehendaki”, seperti doa Yesus kepada Bapa-Nya pada malam sebelum Dia disalibkan (Matius 26:39). Ini memanglah sikap yang patut kita miliki ketika berdoa, namun ada juga masanya kita masih boleh menyatakan keinginan hati kita dengan jelas. Tuhan menghargai kejujuran kita apabila kita datang kepada-Nya dengan hati yang bertaubat. Jadi, tabahkan hati, kemukakan sahaja doa yang ada di hati anda, dan serahkan semuanya kepada Tuhan yang penuh belas kasihan.
