Corey Brooks, yang digelar sebagai “Paderi Atas Bumbung”, menghabiskan 343 hari untuk tinggal di atas bumbung gerejanya di bahagian selatan Chicago. Tujuannya adalah untuk memberi inspirasi kepada komunitinya agar semua orang mengalami transformasi. Brooks mengirimkan pos penghargaan di media sosial bagi guru sekolah rendahnya, Joe Stokes, yang telah mengajarnya empat pelajaran yang tidak dapat dilupakan: kuasa ketabahan, kepentingan integriti (kebolehpercayaan), nilai penglibatan komuniti, dan impak pendidikan.
Dengan menghayati kebijaksanaan Salomo dalam Amsal 3, kita juga boleh berusaha untuk hidup dengan cara yang memberi impak kepada komuniti. Salomo mengajar empat pelajaran yang sangat sesuai bagi mereka yang percaya kepada Tuhan dan dipanggil untuk menjadi penggerak positif: “Percayalah kepada TUHAN” (ayat 5); “takutlah kepada TUHAN dan jauhilah kejahatan” (ayat 7); “muliakanlah TUHAN dengan hartamu” (ayat 9); “jangan pandang sepi pengajaran TUHAN” (ayat 11). Kebijaksanaan sebegini mendorong kita memberi tumpuan kepada Tuhan, tetapi iman kita juga mempunyai dimensi yang mengajar kita menjangkau orang lain.
Dalam Matius 5:3-12, Yesus, yang penuh hikmat, menerangkan bagaimana hati orang percaya sepatutnya bersikap. Dia juga mengingatkan bahawa mereka itu sangat penting kerana mereka membawa pengaruh baik dan perubahan kepada sekeliling mereka. Kata-Nya, “Kamu ialah garam bumi” (ayat 13). Seterusnya Dia berkata, “Kamu ialah cahaya dunia ini” (ayat 14). Oleh itu, kita diberi matlamat hidup, “Biarlah cahayamu juga bersinar … supaya mereka melihat perbuatanmu yang baik lalu memuji Bapamu yang di syurga” (ayat 16).
