Semasa saya memimpin sebuah pelayanan untuk para ibu yang mempunyai anak prasekolah, kami mencari satu imej dalam talian untuk menggambarkan permintaan anak-anak mereka yang tidak pernah habis. Menukar lampin. Mengesat hidung. Mengutip mainan. Rupa-rupanya imej itu berada betul-betul di hadapan kami: sekotak jus pakai buang yang sudah kemek. Para ibu dapat merasakan diri mereka seperti sebuah kotak jus yang kosong. Pelayanan itu ingin membimbing para ibu kembali kepada Sumber air hidup yang dapat memenuhi keperluan rohani mereka sepenuhnya, iaitu Yesus.

Dalam Yohanes 7, Yesus pergi ke Perayaan Pondok Daun (ayat 10), perayaan yang memperingati bahawa Tuhan telah menyediakan apa yang diperlukan oleh umat Israel semasa mereka mengembara di padang gurun. Ia mengandungi upacara menuang air yang melambangkan kesuburan, bahawa tuaian hanya boleh terhasil dengan adanya air. Ia juga melambangkan hujan rohani (yakni Roh Kudus, kehidupan baru, dan berkat rohani daripada Tuhan) yang akan dibawa oleh Mesias. Apa yang dahulu hanyalah lambang dan harapan dalam perayaan kuno itu, Yesus sendirilah yang telah datang menjadikannya kenyataan. Yesus berkata dengan suara lantang,“Sesiapa yang dahaga, datanglah kepada-Ku dan minumlah.” Sebagaimana yang tersurat dalam Kitab suci, “Sesiapa yang percaya kepada-Ku, dalam hatinya akan terpancar mata air yang memberi hidup” (ayat 37-38).

Ada kalanya, kita boleh berasa seperti bekas yang kosong. Letih kerana menjaga orang lain. Penat kerana bekerja. Lelah dengan tanggungjawab harian. Tuntutan yang tidak henti-henti membuatkan kita kekeringan! Tetapi apabila kita hidup dalam hubungan dengan Tuhan, Dia menyediakan mata air hidup di dalam hati kita untuk menyegarkan dan mengisi semula tenaga kita, tidak kira betapa banyak pun kebimbangan dan kerisauan yang cuba mengeringkan kita.