Pakar perubatan Yunani, Hippocrates (sekitar 460–375 SM) membawa bidang perubatan keluar daripada alam kepercayaan karut. Dia mengajar doktor supaya menggunakan logik, pemerhatian, dan ujian klinikal untuk memahami dan merawat penyakit. Tetapi dia tidak melupakan aspek kemanusiaan pesakit. Dia berkata, “Adalah jauh lebih penting untuk mengenal orang yang menghidap penyakit itu, berbanding penyakit yang dihidapi orang itu.”
Rasul Paulus mengambil berat tentang sebuah gereja yang mempunyai banyak masalah, namun dia melihat sifat kemanusiaan setiap anggotanya—termasuk seorang lelaki yang telah melakukan dosa “yang tidak pernah dilakukan oleh orang yang tidak mengenal Tuhan pun” (1 Korintus 5:1). Paulus menangani “penyakit” itu dengan tegas, dan lelaki itu pun bertaubat. Kini, semasa dia menulis surat yang lain kepada jemaah di Korintus, Paulus mempunyai arahan yang tegas untuk setiap mereka. Dia menyedari bahawa dosa lelaki ini telah memberi kesan kepada semua orang: “Jika seseorang telah mendatangkan kesedihan maka bukan aku yang ditimpa kesedihan itu, tetapi kamu semua,” katanya (2 Korintus 2:5). Tetapi oleh sebab lelaki itu telah berpaling daripada dosanya, Paulus berkata, “aku meminta kamu menunjukkan bahawa kamu benar-benar mengasihinya” (ayat 8).
Tujuannya jelas: “Aku menulis kepadamu dengan air mata bercucuran kerana hatiku sungguh sedih dan cemas. Aku bukanlah berniat hendak menyedihkan kamu, tetapi aku mahu kamu tahu bahawa aku amat mengasihimu.” (ayat 4). Dia mengenali setiap mereka. Dan dia mengasihi mereka.
Dosa memberi kesan kepada setiap kita. Di sebalik setiap dosa adalah seorang manusia yang hidup. Apabila kita telah disakiti, mungkin sukar untuk memulihkan hubungan, namun itulah yang Tuhan suruh kita lakukan. Kenali orangnya. Kemudian, dengan pertolongan dan kekuatan yang diberikan oleh Kristus, kasihilah mereka.
