Lukisan itu tergantung di dinding rumah selama bertahun-tahun, tidak dipedulikan lagi dilupakan, sehinggalah pada suatu hari ia jatuh terhempas. Ketika dihantar untuk dibaik pulih, pakar pemulih seni itu mendapati lukisan itu sebenarnya ialah karya agung Rembrandt yang asli, The Adoration for the Magi (Penyembahan Orang Majusi), yang sudah lama hilang. Sebelum ini, ramai menyangka hanya salinan karya yang masih wujud, tetapi rupa-rupanya lukisan aslinya ada di depan mata. Tiba-tiba nilai lukisan itu melambung naik hingga ratusan juta dolar.

Alkitab melukiskan satu lagi gambar yang nilainya kurang dihargai dan kepentingannya dilupakan. Dengan diilhamkan oleh Roh Kudus, nabi Yesaya memberitahu umat Tuhan bahawa walaupun mereka akan dibawa ke tanah asing, dan di sana mereka akan mengalami penderitaan dan dipandang rendah, Tuhan tetap bersama mereka. Tuhan meyakinkan mereka dengan berfirman, “Jangan takut, kerana Aku telah menebus engkau. Aku telah memanggil engkau dengan namamu, engkau milik-Ku,” (Yesaya 43:1). Walaupun mereka akan “mengharungi air” dan “berjalan melalui api” (ayat 2), kesetiaan-Nya terhadap mereka tidak akan berubah. Melalui firman yang menunjukkan kerajaan-Nya yang akan datang dalam Kristus, Tuhan berjanji bahawa suatu hari nanti Dia akan memulihkan “semua orang yang disebutkan dengan nama-Ku” (ayat 7) dan membawa mereka pulang kepada-Nya.

Suatu hari nanti Tuhan akan mengumpulkan semua umat-Nya kerana mereka “berharga dan mulia di mata-(Nya)” (ayat 4), kerana setiap seorang adalah ciptaan yang asli dan istimewa! Pencipta kita menghargai kita disebabkan kebaikan dan belas kasihan-Nya yang tiada terhingga. Dunia mungkin tidak mengendahkan kita, tetapi Tuhan tidak begitu.