Komposer yang luar biasa hebatnya, Ludwig van Beethoven, merupakan salah seorang pemuzik ternama dalam sejarah. Hampir dua abad selepas kematian Beethoven pada tahun 1827, karya-karyanya masih antara yang paling kerap dipersembahkan. Bagaimanapun, satu kajian tentang DNA Beethoven menunjukkan bahawa dia mungkin bukan genius sejak lahir—seperti yang kita sangka. Apabila gen Beethoven dibandingkan dengan gen 14,500 orang lain yang menunjukkan kepekaan terhadap ritma (hanya salah satu aspek bakat muzik), anda akan berasa hairan sebab dia mendapat tempat yang agak rendah.
Beethoven juga mempunyai banyak peluang dan pendedahan kepada muzik (yang mengembangkan bakat yang dimilikinya). Namun demikian, bakat ataupun peluang sahaja belum tentu memadai kalau bukan Tuhan yang mengurniakan kebolehan yang kita miliki. Pencipta kita telah melengkapkan dua orang lelaki, Bezalel dan Oholiab, dengan kemahiran khusus yang digunakan untuk membina Khemah Suci. Tuhan memenuhi Bezalel “dengan kebijaksanaan, pengertian, pengetahuan, dan segala jenis kemahiran bertukang” dan melantik Oholiab “untuk menyertainya” (Keluaran 31:3-6). Tuhan mengurniakan “kebijaksanaan supaya mereka membuat semua yang telah diperintahkan[-Nya]”(ayat 6).
Hanya sebilangan kecil daripada kita yang akan bekerja dalam projek sepenting seperti membina Khemah Suci Tuhan. Kebolehan kita juga mungkin tidak akan direkodkan dalam catatan sejarah. Akan tetapi, Tuhan telah melengkapkan kita dengan kemahiran, bakat, dan pengalaman yang Dia mahu kita berkongsi dengan dunia. Semoga kita melayani-Nya dengan setia, dalam kekuatan-Nya dan demi kemuliaan-Nya.