Jiran saya, Sam, pulang ke rumah pada suatu malam tanpa keretanya. “Kereta aku dicuri,” kata Sam kepada isterinya, lalu menambah, “Aku tidur dulu. Esok baru aku uruskan.” Isterinya tercengang. Dia tidak faham bagaimana Sam boleh begitu tenang, tetapi Sam menjelaskan: “Apa lagi yang dapat aku buat? Panik tak ada gunanya.”
Jiran saya yang bersikap munasabah itu sedar bahawa tiada gunanya risau. Dia percaya bahawa pihak berkuasa akan dapat mencari semula keretanya yang hilang—memang benar, keretanya itu ditemukan kemudian.
Adakah rasul Petrus juga berasa begitu selepas dimasukkan ke dalam penjara (Kisah Para Rasul 12:4)? Dia mungkin akan dihukum mati, namun murid yang biasanya tergesa-gesa mengikut dorongan hati itu “tidur di antara dua orang askar” (ayat 6). Malaikat harus “menepuk Petrus untuk membangunkannya” (ayat 7)—ini menunjukkan bahawa dia benar-benar tenang dan aman. Adakah sebab dia mengetahui hidupnya berada di tangan Tuhan? Ayat 9 dan 11 memberitahu kita bahawa tidak menjadi soal sama ada dia diselamatkan atau tidak; mungkin dia teringat penyelamatan dan kemuliaan yang telah dijaminkan Yesus kepadanya (Matius 19:28), serta Kristus pernah memanggil dia, “ikutlah Aku” (Yohanes 21:22). Itulah sebabnya dia tidak risau tentang apa yang akan berlaku kepadanya (Yohanes 21:22).
Tidak kira apa-apa pun yang kita hadapi hari ini, kita boleh percaya bahawa masa depan kita—baik di bumi mahupun di syurga—berada dalam tangan Tuhan yang penuh kuasa. Maka, mungkin lebih mudah untuk kita tidur dengan tenang.
