Henry David Thoreau, seorang penulis Amerika, memerihalkan bandar sebagai tempat ramai orang yang “berasa sunyi bersama-sama.” Kata-kata ini ternyata benar. Pada zaman muda saya, lagu-lagu seperti “Mr. Lonely,” “Only the Lonely,” dan “Eleanor Rigby” berfokus pada keterasingan dan kesunyian. Pada tahun-tahun kebelakangan, pandemik telah menjadi salah satu musim paling isolatif yang pernah dialami dunia. Media sosial pun dapat meredakan kesepian itu, dengan memberi kita hubungan secara maya tanpa hubungan yang sebenar. Barangkali kesunyian merupakan pandemik baharu.
Ketika Matius berkongsi tentang kisah kelahiran Yesus (1:18-25), dia memberitahu kita, “Segala ini berlaku supaya terlaksanalah firman Tuhan melalui nabi-Nya [Yesaya]: ‘Seorang anak dara akan mengandung, dan melahirkan seorang anak lelaki, dan mereka akan menamai Dia Immanuel’ yang bererti, Allah menyertai kita dalam bahasa Ibrani” (ayat 22-23). Renungkanlah sejenak. Tuhan menyertai kita!
Sebagai orang yang percaya kepada Yesus, kita tidak akan bersendirian. Kita dilahirkan semula dalam keluarga Kristus, iaitu sebuah keluarga yang merentasi sejagat dan zaman-berzaman. Rasul Paulus berkata, “Kamu bukan lagi orang asing dan pendatang, tetapi sesama warga negeri dengan orang yang salih dan ahli-ahli keluarga Allah” (Efesus 2:19). Kita dikasihi oleh Tuhan yang tetap hadir, yang berfirman, “Aku tidak sekali-kali akan meninggalkanmu. Aku tidak sekali-kali akan membiarkanmu” (Ibrani 13:5).
Apa-apa sahaja yang anda hadapi hari ini, Bapa anda yang di syurga bersama-sama anda. Biarkan Dia menolong anda semasa anda melangkah dalam ketidakpastian dan cabaran hidup. Dia menyertai anda.