Apabila rakan saya, Maritza, menyandang jawatan yang memerlukan dia membuat perjalanan ke banyak bandar yang berlainan seorang diri, dia sering terasa kesunyian. Tetapi pada suatu malam semasa makan malam, dia membongkok ke hadapan dan memberitahu saya, “Jen, aku berdoa dan memohon Tuhan untuk menghantar umat-Nya kepadaku.” Dia menyambung bahawa tidak lama kemudian dia mula bertemu dengan orang lain yang percaya kepada Yesus secara kerap. Pernah sekali, dia bertemu dengan tiga orang dalam sehari!

Apabila kita bertemu dengan orang lain yang beriman kepada Yesus, kita berkongsi satu ikatan rohani. Secara tidak langsung, hal ini menaikkan semangat kita. Kita mempunyai persamaan yang paling penting kerana kita mempercayai apa yang dikatakan oleh Alkitab tentang Kristus dan bagaimana kita boleh mempunyai hubungan dengan Tuhan melalui-Nya (Roma 10:9).

Yang paling penting, Roh Kudus menetap di dalam setiap orang percaya, menyatukan kita dengan begitu teguhnya hinggakan Alkitab mengibaratkan kita dengan bahagian-bahagian tubuh manusia yang saling berkaitan. 1 Korintus 12:13 berkata, “Oleh satu Roh kita semua telah dibaptiskan ke dalam satu tubuh”—iaitu tubuh Kristus.

Tuhan sering melakukan sesuatu untuk kebaikan kita melalui orang lain yang mengasihi-Nya, sama ada mereka itu dekat atau jauh, yang sudah lama dikenali atau yang baru kita jumpa. Di saat tersangat kesunyian, kita boleh memohon kepada Tuhan agar Dia menghantar orang yang mengasihi-Nya kepada kita, walaupun pada masa yang sama, kita menawarkan diri untuk dipakai Tuhan bagi memberi semangat kepada orang lain.