Pada tahun 1872, Presiden Ulysses S. Grant ditahan kerana memandu kereta kudanya secara berbahaya di Washington DC. Satu laporan yang diterbitkan menyatakan bahawa pegawai polis hari itu, William West, iaitu seorang warga Amerika berbangsa Afrika, telah memberikan amaran kepada Grant, “Pemanduan tuan yang laju … membahayakan nyawa orang yang perlu menyeberangi jalan.” Grant meminta maaf, tetapi pada keesokan malam dia berlumba kereta kuda lagi. West memberhentikan kuda-kuda Grant. “Tuan Presiden, saya harus ambil tindakan. Walaupun anda ialah ketua negara ini dan saya hanyalah seorang anggota polis, tetapi tugas tetap tugas.” Seterusnya West menahan Presiden Grant.
Saya mengagumi lelaki yang berani ini kerana dia menjalankan tugasnya. Begitu juga Grant. Dia memuji West dan memastikan West tidak kehilangan pekerjaannya. Tuhan juga berkenan, kerana Dia membenci sikap pilih kasih yang membawa ketidakadilan. Tuhan berfirman, “Sebagai orang yang beriman kepada Tuhan kita Yesus Kristus yang mulia itu, janganlah amalkan sikap pilih kasih” (Yakobus 2:1). Ini termasuk tidak memberikan layanan istimewa kepada orang kaya dan yang berkuasa, dan hanya memberikan layanan buruk kepada orang miskin (ayat 2-4). Sebaliknya, kita dipanggil untuk mengasihi sesama manusia sebagaimana kita mengasihi diri kita sendiri (ayat 8). Jika kita bersikap pilih kasih dengan menyambut baik jiran kita yang berstatus tinggi tetapi menyambut dingin mereka yang hidup susah, kita “berdosa, dan menurut hukum, kita melanggar hukum” (ayat 9).
Tuhan tidak bersikap pilih kasih terhadap kita. Dia mengasihi kita ketika kita tidak memiliki apa-apa pun untuk ditawarkan, bahkan apabila kita “tanpa harapan dan tanpa Tuhan di dunia ini” (Efesus 2:12). Dengan pertolongan-Nya, kita dapat mengasihi semua orang secara sama rata.
