Ramai ahli sejarah percaya bahawa siaran radio pertama, yang mengandungi muzik dan ucapan telah didengar oleh para operator radio di kapal Tentera Laut Amerika Syarikat dan kapal-kapal lain di Lautan Atlantik pada malam Krismas, tahun 1906. Kali ini bukannya bunyi kod Morse, iaitu bunyi bip dan denyutan untuk menghantar kod yang kedengaran, sebaliknya mereka mendengar pemuzik Reginald Fessenden memainkan violin solo untuk lagu Krismas “O Holy Night” (O Malam Kudus). Fessenden mengakhiri siaran persembahannya dengan mengulang pujian para malaikat: “Kemuliaan bagi Allah di tempat yang maha tinggi!” (Lukas 2:14). Para pendengar pasti terkejut dengan muzik yang membangkitkan semangat dan menyatakan pujian atas kelahiran Yesus.

Orang pertama yang hairan dengan kelahiran Yesus ialah beberapa orang gembala yang sedang menjalankan tugas mereka seperti biasa, iaitu menjaga domba mereka pada waktu malam. Tiba-tiba malaikat Tuhan muncul di hadapan mereka dan kemuliaan Tuhan menerangi mereka, lalu mereka ketakutan (ayat 9). Tetapi malaikat itu berkata kepada mereka: “Jangan takut! Aku membawa kepadamu berita baik yang akan memberikan sukacita besar kepada seluruh umat. Pada malam ini di kota Daud telah lahir seorang Penyelamat bagimu, iaitu Kristus, Tuhan” (ayat 10-11). Para gembala dengan segera meninggalkan domba mereka untuk mengenal pasti kata-kata malaikat itu dan kemudian menemukan bayi yang terbaring di dalam palung, seperti yang dikatakan kepada mereka (ayat 16, 20).

Para gembala menerima berita baik yang membawa sukacita besar. Semoga kita juga bersukacita dan berkongsi kelahiran serta hidup Yesus yang penuh keajaiban.