“Muzik apa yang lebih merdu dapat kita persembahkan/ Selain karol untuk dinyanyikan/ Sempena kelahiran Raja Syurgawi kita?” Baris-baris puisi abad ke-17 bertajuk “What Sweeter Music” oleh Robert Herrick ini telah digubah semula oleh komposer koir zaman moden, John Rutter, dan menjadi lagu kegemaran musim Krismas. Melodinya yang lembut mengisahkan musim penantian yang panjang lagi dingin, yang dilegakan oleh rasa sukacita akan kedatangan Yesus. Para penyanyi mempersembahkan karol Krismas untuk-Nya; manakala para pendengar diminta untuk menyerahkan hati mereka.

Gubahan Rutter ini dihasilkan sempena waktu pembacaan Matius 2:1-2 di gereja, mengenai ahli-ahli ilmu bintang yang mempersembahkan emas, kemenyan, dan mir kepada Yesus. Para ahli ilmu bintang yang penuh misteri ini mengembara jauh untuk menemui bayi Yesus dengan tujuan khusus untuk menyembah-Nya. Apabila mereka akhirnya menjumpai-Nya, mereka “sungguh gembira,” sujud menyembah, dan “membuka harta benda mereka” di kaki-Nya (ayat 10-11). Setelah diberi amaran dalam mimpi, mereka ”pun pulang ke negeri mereka” tanpa memberitahu Raja Herodes yang zalim (ayat 12).

Musim Krismas sepatutnya tidak berfokus pada pemberian kebendaan—tetapi sememangnya tentang memberi dan menerima hadiah. Tuhan memberikan Anak-Nya untuk memulihkan dunia yang telah rosak. Jika kita tidak pernah menyerahkan hati kita kepada-Nya, hari inilah hari yang indah untuk berbuat demikian. Jika Dia sudah bertakhta di hati kita, marilah kita mempersembahkan karol yang bertemakan damai sejahtera dan sukacita sambil kita merenungkan kedatangan-Nya di Betlehem bertahun-tahun yang lalu—dan menantikan kedatangan-Nya kembali.