Pada suatu petang di sebuah kafe, saya ternampak seorang anak perempuan yang belum dua tahun duduk bersama ibu bapanya di meja sebelah. Semasa ibu bapanya berbual dengan kawan-kawan mereka, seekor burung merpati terbang masuk dan mematuk serpihan makanan di lantai. Budak kecil itu sangat kagum melihat burung itu dan menjerit kegembiraan untuk menarik perhatian orang dewasa. Tetapi ibu bapanya tidak melihat apa yang dia lihat. Mereka hanya senyum kepadanya dan sambung berbual semula.

Yesus pernah mengutus para pengikut-Nya untuk satu misi penyebaran Injil, yang ternyata sangat berjaya (Lukas 10:17). Sebagai respons, Yesus pun berdoa, “Ya Bapa, Tuhan langit dan bumi! Aku bersyukur kepada-Mu,” kerana apa yang Kaurahsiakan daripada cerdik pandai, Kautunjukkan kepada kanak-kanak kecil” (ayat 21). Dalam konteks ini, “kanak-kanak kecil” tidak merujuk kepada usia semata-mata, tetapi kepada status. Merekalah “orang berdosa”, yakni orang biasa yang rendah hati, yang memberikan respons terhadap Injil, manakala para pemimpin agama yang “bijaksana dan berilmu” tidak mengendahkannya (7:29-34). Walaupun Tuhan yang menentukan kepada siapa Dia mahu menyatakan diri-Nya, Yesus sentiasa memberikan penerangan yang lebih lanjut tentang kerajaan-Nya kepada mereka yang bertanya (lihat Matius 13:36). Para pemimpin itu terlepas peluang untuk melihat siapa Yesus kerana mereka sebenarnya tidak mahu mengambil tahu.

Anak perempuan di kafe itu telah melihat sesuatu yang istimewa, sedangkan ibu bapanya terlepas peluang. Semoga kita tidak sesekali begitu mudah dialihkan perhatian oleh kebisingan di dunia ini, atau terlalu sombong untuk mencari pemahaman yang lebih mendalam terhadap kebenaran, sehingga kita terlepas apa yang ingin ditunjukkan Tuhan mengenai diri-Nya kepada kita.