Semasa kebakaran hutan sedang memarak, seorang renjer hutan menyelamatkan seekor anak beruang. Di tapak pemulihan yang selamat dan jauh daripada pasukan bomba yang masih bermati-matian memadamkan api besar, renjer itu meletakkan haiwan tersebut di atas tanah. Sambil berdiri di atas kaki belakang kecilnya, anak beruang itu memeluk betis renjer hutan tersebut. Renjer hutan itu perlahan-lahan melepaskan dirinya. Dengan mulut ternganga seolah-olah merintih dalam keterdesakan, si anak beruang cuba memanjat dan mencengkam untuk tetap berlindung dalam pelukan penyelamatnya. Apabila anak beruang itu berpaut pada lengan renjer hutan, lelaki yang baik hati itu berlembut dan membelai kepala si kawan kecilnya itu.

Apa akan terjadi jika kita mengejar Penyelamat kita yang sebenar—Yesus—dengan keterdesakan dan keyakinan yang sama seperti anak beruang itu, yang mengejar dan berpegang erat pada orang yang telah menyelamatkannya daripada maut?

Semua orang yang dicipta Tuhan perlu diselamatkan. Pemazmur Daud mengakui dia memerlukan seorang penyelamat, dan berharap bahawa Tuhan mendengar dan menjawab doanya (Mazmur 55:1-2). Dengan jujur Daud mengakui bahawa dia menghadapi kesusahan, ancaman, kesengsaraan dan ketakutan (ayat 3-5), justeru Daud mengejar Tuhan dengan penuh keyakinan. “Aku berseru kepada Allah, dan TUHAN akan menyelamatkan aku,” katanya (ayat 16). “Petang, pagi dan tengah hari aku akan berdoa dan meratap kuat, dan Dia akan mendengar suaraku” (ayat 17). Daud terus-menerus berdoa. Dia percaya bahawa Tuhan mendengar dan percaya bahawa Dia akan menyelamatkan nyawanya serta membawanya pulang dengan “selamat” (ayat 18).

Apabila kita menghadapi kesukaran atau penderitaan apa-apa pun, seperti Daud, kita juga boleh berseru kepada Tuhan. Penyelamat kita penuh kasih, Dia akan mengejar kita, mendengar dan menyelamatkan kita apabila kita juga mencari-Nya.