Semasa gereja kami mengadakan program bantuan di sebuah pusat jagaan, seorang penghuni warga emas berkongsi bagaimana anak perempuannya telah membawa dia ke situ tiga tahun lalu, dan meninggalkannya begitu sahaja di kaki lima. Oleh sebab Ed duduk di atas kerusi roda, dia tidak mampu bangun untuk mengejar anak perempuannya. Anak perempuan Ed kembali ke kereta tanpa menoleh ke belakang dan terus memandu dari situ. “Kita akan pergi ke hotel yang bagus,” kata anak perempuannya sebelum itu. Hari itu merupakan kali terakhir Ed melihat anaknya.
Berbeza sekali daripada pengalaman keluarga lain yang penuh kasih sayang dalam penjagaan warga emas, kes penganiayaan yang nyata ini telah membawa trauma kepada Ed. Dia masih mengalami mimpi buruk tentang hari itu.
Berabad-abad dahulu, seorang pemuda juga mengalami trauma (Kejadian 37:12-36). Para saudara Yusuf telah melemparkannya ke dalam perigi kosong dan menjualnya kepada pedagang yang menuju ke Mesir. Namun demikian, “TUHAN menyertai Yusuf” (39:2). Di negeri asing itu, ketika dia secara berani melakukan apa yang benar di mata Tuhan—baik di rumah tuannya (ayat 7-10) mahupun di penjara—Yusuf menyedari bahawa Tuhan “melimpahkan kasih setia-Nya kepadanya” (ayat 21 TB ). Meskipun mengalami trauma silam, Yusuf tetap berjaya dalam apa sahaja yang dikerjakannya kerana Tuhan menolongnya (ayat 23). Akhirnya, dia menjadi penguasa kedua selepas Firaun, dan mendirikan rumah tangga sendiri (41:41-52). Kemudian, dia malah berdamai semula dengan para saudaranya (45:12-15).
Orang lain mungkin menyakiti kita, tetapi Tuhan tidak akan berbuat begitu. Walaupun cara Dia memulihkan kita mungkin berbeza daripada apa yang dilakukan-Nya untuk Yusuf, Dia menjanjikan kasih setia-Nya yang sama kepada kita. Marilah kita mengikut pimpinan-Nya sambil percaya bahawa Dia akan menyembuhkan luka di hati kita.