Ini memang berisiko untuk masuk ke bahagian komen di laman web berita. Berisiko, tetapi menarik. Dalam sebuah temu ramah dengan seorang jutawan yang cuba hidup selama-lamanya di hayat ini, seorang pembaca memberi komen dengan memetik ayat ini daripada Matius 16:25: “‘Sesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangan hidup, dan sesiapa yang mengorbankan hidupnya kerana-Ku akan memperoleh hidup.’ —Yesus.” Pembaca lain turut bertanya mengenai komen itu, “Bukankah ada sebuah buku yang ditulis tentang Dia?” Yang mana pembaca ketiga menjawab, “Ya, fiksyen.”

Ada orang yang akan sentiasa mengejek kepercayaan kepada Yesus. Ketika rasul Paulus berdiri di padang kota untuk memberitahu sekumpulan besar orang Atena tentang Kristus, hasilnya bercampur. “Apabila mendengar ‘membangkitkan-Nya daripada kematian’, ada yang mengejek-ejek” (Kisah Para Rasul 17:32). Namun ada yang berkata, “Kami mahu mendengar lagi kamu bercakap tentang perkara itu” (ayat 32). Dan ada yang percaya (ayat 34).

Bagaimana orang lain memberi respons terhadap kebenaran Alkitab, itu adalah antara mereka dengan Tuhan. Tetapi dakwaan bahawa kita boleh hidup selama-lamanya di dunia ini ialah fiksyen. Kesudahan tubuh kita ialah kematian. Sebaliknya, Alkitab memberitahu kita bahawa Yesus adalah “jalan, kebenaran dan hidup” (Yohanes 14:6). Seperti Paulus, tugas kita adalah berkongsi Injil dengan sesiapa yang sudi mendengar apa yang telah dilakukan oleh Manusia ini untuk kita. Kita boleh mempercayai Roh Kudus untuk melakukan yang selebihnya.