Seorang doktor memutuskan untuk bersara setelah merawat pesakit kanser selama hampir tiga puluh tahun. Semasa bekerjasama dengan sebuah syarikat akauntan untuk menyelesaikan kewangan kliniknya, dia memilih untuk memansuhkan hutang berjumlah $650,000 dolar yang masih perlu dibayar oleh pesakitnya. Dalam sebuah temu bual, doktor itu menjelaskan, “Saya sentiasa berasa tidak selesa apabila pesakit bukan sahaja perlu bimbang tentang kesihatan mereka, tetapi juga keluarga mereka, pekerjaan mereka, dan wang. Hal itu sentiasa meruntun hati saya.”

Walaupun kita mungkin tidak pernah menghadapi hutang kewangan yang besar, kita semua pernah mengalami sesuatu yang serupa dari segi rohani. Alkitab menyamakan dosa dengan “hutang” (Matius 6:12). Ia juga menyatakan bahawa tidak ada cara lain yang kita dapat membayar apa yang kita hutang kepada Tuhan. Kita tidak boleh menderma kepada badan amal, melayani orang lain, atau membuat perjanjian dengan-Nya untuk menampung hutang itu. Yesus adalah satu-satunya harapan kita. Melalui kematian dan kebangkitan-Nya, Kristus “telah membatalkan surat hutang kita yang mengancam kita dengan syarat-syarat berat. Dia menghapuskan semuanya dengan menyalibkan surat hutang itu di kayu salib” (Kolose 2:14, TMV).

Dengan menerima pengorbanan Yesus untuk kesalahan yang pernah kita lakukan, ini bermakna kita dapat memulakan hari yang baru, tanpa rasa bersalah, tanpa beban masa lalu, dan dengan hati yang bebas kerana dosa-dosa itu sudah diampunkan. Semoga belas kasihan dan pengampunan Tuhan menyinari dunia apabila Dia menolong kita menghadapi dan melayan orang lain dengan cara yang baik, lembut, dan penuh kasih.