Pada 9 Disember 1987, seekor tupai telah menggigit kabel kuasa di Connecticut, Amerika Syarikat, sehingga menimbulkan gangguan pada Nasdaq, sebuah bursa saham terbesar yang beroperasi sepenuhnya secara elektronik. Kemudian segala maklumat pada skrin besarnya mula berkelip, terhenti secara perlahan dan akhirnya terpadam. Beberapa buah syarikat terbesar dunia menjadi lumpuh dan “lenyap” dalam senarai. Pelbagai badan ekonomi global memerhati dengan penuh cemas selama hampir satu jam setengah. Semua hanya kerana seekor haiwan kecil berbulu yang gigih!
Alkitab menceritakan banyak kisah tentang sesuatu atau seseorang yang kecil memberi impak yang besar. Tetapi Tuhan boleh menjadikan sesuatu kekurangan menjadi sesuatu yang perkasa. Yohanes mengisahkan bagaimana Yesus memberi makan kepada kelompok orang ramai yang lapar (lima ribu orang lelaki—kemungkinan lima belas ribu orang termasuk wanita dan kanak-kanak) apabila “seorang budak di sini yang mempunyai lima buku roti barli dan dua ekor ikan” menyerahkan makanannya yang sikit (Yohanes 6:9). Dalam Perjanjian Lama, kita diingatkan tentang seorang budak gembala bernama Daud yang percaya kepada Tuhan dan menewaskan seorang gergasi (1 Samuel 17). Kristus juga berulang kali menegaskan bahawa kerajaan Tuhan adalah seperti biji sesawi, “paling kecil antara semua benih” (Matius 13:32).
Apabila kita memikirkan banyak krisis global yang rumit serta kekhuatiran yang membingungkan dalam kalangan kejiranan dan keluarga kita sendiri, kita tergoda untuk percaya bahawa usaha kecil kita tidak membawa kesan. Tetapi Alkitab berkata kita harus bertindak dalam ketaatan dan percaya akan pertolongan Tuhan—yakin bahawa dengan-Nya, perkara kecil boleh menjadi perkasa (Yohanes 6:10-12).
