Pham, seorang pengumpul jam dari Vietnam telah mengumpul sebanyak dua puluh buah jam gereja dari seluruh Eropah, yang kebanyakannya telah digantikan dengan versi elektronik. Salah sebuah jam buatan Itali, yang berasal dari tahun 1750, masih menunjukkan waktu dengan tepat dengan luar biasa. Pham menikmati proses membaiki dan memelihara jam-jam tersebut, katanya, jam ini mengingatkannya betapa berharganya masa, dan kita patut menghargai setiap detik.
Dalam Yakobus 4, penulis menggalakkan para pembacanya menyedari betapa berharganya masa dengan mengingatkan bahawa hidup mereka seperti “wap, yang kelihatan sejurus lantas lenyap” (Yakobus 4:14). Yakobus memberi amaran terhadap orang yang membuat perancangan tanpa memohon bimbingan Tuhan. Mereka “bertolak ke sebuah negeri dan tinggal di situ selama setahun untuk berniaga dan mencari wang” (ayat 13). Mereka beranggapan bahawa Tuhan pasti memberkati segala rancangan dan urusan perniagaan mereka. Namun, Yakobus mengingatkan mereka bahawa mereka “tidak tahu apa yang akan terjadi dengan kehidupan esok” (ayat 14). Jika seseorang merancang kejayaannya sendiri tanpa melibatkan Tuhan, itu sebenarnya suatu tindakan yang sombong dan angkuh.
Apabila kita sedar bahawa hidup kita ini begitu singkat, kita tidak perlu lagi terlalu asyik akan rancangan masa depan kita, dan dapat menghargai setiap waktu pada masa kini. Apabila kita hidup dan bekerja mengikut rancangan dan tujuan Tuhan, kita boleh dengan rendah hati mempercayakan masa depan kita kepada-Nya dan menikmati setiap hari sebagai pemberian-Nya—tidak kira apa yang mungkin berlaku.
