Wajah itu telah ada sejak awal lagi, tetapi tiada sesiapa yang tahu. Apabila pelukis Sir Joshua Reynolds melukis Kematian Cardinal Beaufort (The Death of Cardinal Beaufort) pada tahun 1789, dia melakarkan wajah syaitan dalam kegelapan di belakang lelaki yang sedang nazak itu. Reynolds melukis satu adegan daripada drama Shakespeare mengikut teks asal secara tepat, yang menyebut kehadiran satu “syaitan yang sibuk dan mengusik,” tetapi ada sesetengah orang tidak menyukainya kerana dia mengambil kata-kata itu secara harfiah. Selepas kematian Reynolds pada tahun 1792, wajah itu ditindih dengan cat dan dilupakan. Kerja pemuliharaan seni baru-baru ini menemukan lapisan bawah cat dan varnisnya.
Alkitab mendedahkan realiti rohani di sekeliling kita bahawa mata tidak dapat melihat, di mana Tuhan memerintah dengan berdaulat. Ketika Elisa dikepung oleh “pasukan kuat” daripada tentera musuh dengan kereta-kereta kuda, hambanya ketakutan dan bertanya, “Apakah yang harus kita lakukan?” Elisa menjawab “yang menyertai kita lebih ramai daripada yang menyertai mereka,” lalu berdoa, “Ya TUHAN, bukalah kiranya matanya supaya dia dapat melihat.” Tiba-tiba, hamba itu “melihat bahawa sesungguhnya gunung itu penuh dengan kuda dan rata berapi mengelilingi Elisa” (2 Raja-Raja 6:14-17).
Kuda dan kereta berapi itu menunjukkan malaikat-malaikat Tuhan yang hadir di situ untuk melindungi Elisa. Ini hanyalah satu daripada banyak bahagian dalam Alkitab yang menegaskan penghiburan kebenaran bahawa dalam dunia yang penuh bahaya dan peperangan rohani, Tuhan tetap menjaga kita. Tidak kira apa yang kita hadapi, betapa baiknya mengetahui bahawa tiada apa yang “dapat memisahkan kita” daripada kasih-Nya (Roma 8:39).
