Dalam autobiografi Augustine yang bertajuk Confessions (Pengakuan), dia bergelut untuk memahami bagaimana mungkin Tuhan yang mencipta seluruh alam semesta boleh mempunyai hubungan dengan dirinya yang kerdil dan penuh dosa. Namun dia tetap memohon kepada Tuhan agar menjadi mungkin. Dia berdoa, “Jiwaku ini sempit; ya Tuhan, lapangkanlah ia agar Engkau boleh masuk. Ia sudah rosak; ya Tuhan, pulihkanlah ia! Di dalamnya ada banyak perkara yang tidak menyenangkan-Mu. Aku akui dan mengetahuinya. Tetapi siapakah yang boleh membersihkannya? Kalau bukan kepada-Mu, kepada siapa lagi aku boleh berseru?”
Hari ini, Augustine dikenali sebagai Santo Augustine—seorang ahli falsafah dan teologi yang dihormati. Namun dia melihat dirinya hanyalah seorang yang telah berubah oleh keajaiban Tuhan yang mahu mengenalnya.
Dalam Mazmur 119, pemazmur juga kagum akan cara Tuhan menyatakan diri-Nya, terutamanya melalui hukum-Nya (ayat 18). Sebagai tanda syukurnya, pemazmur berkata, “Engkau melapangkan hatiku” (ayat 32). Hanya kerana Tuhan melapangkan hati kita dengan bermurah hati, barulah kita dapat berjalan dengan sukacita di jalan yang ditunjukkan-Nya (ayat 45). Tuhan mengalihkan kecenderungan hati kita daripada perkara-perkara yang rosak (ayat 36-37) kepada “jalan perintah-perintah[-Nya]”, yang kita dapat memperoleh kebahagiaan yang tidak terhingga (ayat 35).
Kita kerdil, dan hati kita sering goyah. Namun apabila kita menyerahkan hati kita kepada Tuhan dengan rindu akan Dia (ayat 34, 36), Dia akan menuntun kita ke jalan yang penuh sukacita dan kebebasan sejati.
