Pada tahun 155 sebelum Masihi, paderi Polycarp di gereja awal telah diancam mati dengan dibakar kerana imannya kepada Kristus. Dia menjawab, “Selama lapan puluh enam tahun aku menjadi hamba-Nya, Dia tidak pernah berbuat jahat terhadapku. Dan bBagaimana mungkin aku menghujat Raja yang telah menyelamatkanku?” Jawapan Polycarp boleh menjadi inspirasi bagi kita ketika menghadapi ujian berat kerana iman kita kepada Yesus, Raja kita.
Beberapa jam sebelum kematian Kristus, Petrus dengan berani berikrar setia kepada-Nya: “Aku rela mati untuk-Mu, Tuhan!” (Yohanes 13:37). Yesus—yang mengenal Petrus lebih daripada Petrus mengenal dirinya sendiri, menjawab, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sebelum ayam berkokok, kamu akan menyangkal Aku tiga kali” (ayat 38). Namun selepas kebangkitan Yesus, orang yang sama yang telah menyangkal-Nya mula melayani-Nya dengan berani, bahkan akhirnya memuliakan-Nya melalui kematiannya sendiri (lihat Yohanes 21:16-19).
Adakah anda ialah Polycarp atau Petrus? Secara jujur, kebanyakan kita lebih seperti Petrus yang “kehilangan keberanian”—gagal untuk bercakap atau bertindak mulia sebagai pengikut Yesus. Peristiwa sedemikian—sama ada di bilik darjah, bilik mesyuarat, atau bilik rehat—tidak semestinya menentukan siapa diri kita selama-lamanya. Apabila kita gagal atau jatuh, kita mesti bangkit semula dengan doa dan kembali kepada Yesus yang telah mati dan hidup untuk kita. Dia akan menolong kita untuk tetap setia kepada-Nya dan hidup dengan berani untuk mengikut Dia setiap hari, walaupun di tempat atau keadaan yang sukar.
