Api besar yang ditiup angin kencang telah membakar kota Rom selama beberapa hari. Ahli sejarah, Tacitus, menggambarkan suasana hari itu penuh dengan huru-hara,jeritan dan orang ramai berlari menyelamatkan diri. Akhirnya, hampir dua pertiga kota Rom termusnah. Maharaja Rom, Nero, membuat tuduhan palsu ke atas orang Kristian. Kononnya mereka ialah dalang yang memulakan kebakaran itu. Dia membenci pengikut Yesus dan menjadikan mereka kambing hitam untuk tragedi tersebut—walhal terdapat khabar angin bahawa Nero sendirilah yang memerintahkan orang untuk mencetuskan kebakaran itu!
Nehemia juga menghadapi tuduhan palsu yang teruk. Dia pernah menjadi hamba kepada raja Parsi tetapi diberi izin kembali ke Yerusalem bersama orang Israel yang lain untuk membaiki tembok kota (Nehemia 2:1-10). Namun, apabila tembok itu siap dibina, musuh menuduh orang Yahudi “bermaksud [untuk] memberontak” dan menjadikan Nehemia “raja mereka” (6:6). Bagaimanakah mereka menghadapi tuduhan palsu itu? Dengan melenggarakan dan menjalani hidup yang tulus (ayat 8), berani menegakkan kebenaran dengan kuasa Tuhan (ayat 11), dan bersungguh-sungguh berdoa kepada-Nya (ayat 14). Musuh mereka akhirnya “ketakutan dan malu” apabila mereka menyedari bahawa “dengan bantuan Allah.., [pembinaan tembok itu] telah dilaksanakan” (ayat 16).
Kadangkala, kita juga akan difitnah oleh orang lain. Tetapi apabila Tuhan memberikan kekuatan yang kita perlukan, kita dapat mengampuni penuduh kita dan “menjalani hidup dengan baik”, meskipun mereka “mengata [kita] berbuat jahat, mereka tetap melihat perbuatan [kita] yang baik lalu memuliakan Allah” (1 Petrus 2:12).
