Pada awal pagi, Sara menulis senarai tugasannya untuk hari itu. Namun, dia terganggu oleh permintaan sebuah keluarga muda yang sedang mengalami kesusahan. Mereka sangat memerlukan gereja menghantarkan kad prabayar minyak kereta kepada mereka. Sara sibuk, tetapi dia tahu Tuhan mahu dia melakukannya. Jadi dia bersetuju untuk menghantarnya ke hotel yang disediakan gereja bagi keluarga tersebut untuk penginapan beberapa minggu. Apabila dia mengambil kad itu dan memeriksa alamatnya—jarak ke tempat itu lebih jauh daripada yang disangkanya, jadi dia merungut kepada Tuhan, ini akan menggunakan terlalu banyak minyak untuk sampai kepada mereka!

Sara merasakan kata-kata ini dalam hatinya: Bukankah Aku telah menyediakan kepadamu? Dia menjawab, Benar, Tuhan. Ampunilah sikapku. Apabila dia tiba, dia menemui pasangan tersebut, menyerahkan kad, dan mendukung bayi mereka. Dalam perjalanan pulang, Sara mengucap syukur kepada Tuhan kerana Dia memberkatinya dengan peluang yang mudah ini untuk melayani orang dengan sukacita.

Dalam perjalanan Elisa ke Sunem di Israel, dia menemui seorang wanita yang mempunyai hati seorang hamba terhadapnya. Wanita itu mendesak Elisa “agar singgah untuk makan,” jadi setiap kali dia pergi dia “singgah di sana untuk makan” (2 Raja-Raja 4:8). Wanita dan suaminya bahkan menyediakan sebuah bilik untuk Elisa, supaya bila-bila dia singgah, dia dapat tinggal di situ (ayat 9-10). Tuhan dengan murah hati memberkati mereka melalui nubuat Elisa bahawa mereka akan mempunyai seorang anak lelaki (ayat 16).

Sama ada melayani seorang nabi Tuhan atau sebuah keluarga yang kehilangan tempat tinggal, apabila kita terbuka kepada rancangan Tuhan dan menurut senarai tugasan-Nya, Tuhan senang untuk mencurahkan berkat dan sukacita-Nya kepada kita.