Charles Joughin menjadi seorang pelayar sejak usia sebelas tahun. Dia bekerja sebagai pembuat roti di beberapa buah kapal, dan pada tahun 1912, dia telah diupah di sebuah kapal pelayaran yang belayar dari Southampton, England. Kapal itu ialah Titanic, yang kemudian terlanggar bongkah ais di Atlantik Utara. Ketika kapal itu mulai tenggelam, Joughin membantu ramai orang masuk ke dalam bot penyelamat. Dia sendiri berdiri di atas hujung Titanic ketika kapal itu tenggelam menegak ke dalam air. Ajaibnya, dia terselamat.

Tiga puluh tahun kemudian, semasa Perang Dunia Kedua, Charles berada di atas sebuah kapal lain, RMS Oregon. Kapal itu dilanggar oleh kapal lain, juga tenggelam. Luar biasanya, Joughin terselamat sekali lagi.

Alkitab memberitahu bahawa setiap kita berada di atas kapal yang sedang tenggelam. Paulus menulis, “Semua manusia telah berdosa dan tidak dapat mencapai kemuliaan Allah” (Roma 3:23). Ketika merujuk kepada bangsa Israel yang memberontak, Dia memetik kata-kata Yesaya: “Jika TUHAN alam semesta, tidak meninggalkan beberapa orang yang terselamat bagi kita, tentu kita sudah menjadi seperti Sodom” (Yesaya 1:9). Paulus bercakap tentang “baki” orang Israel, satu kumpulan kecil yang terselamat: “hanya segelintir baki akan diselamatkan” (Roma 9:27). Bagaimanakah mereka diselamatkan? Dengan menerima berita Injil (10:16). Kita seperti Israel, tenggelam dalam dosa kita. Tiada orang dapat diselamatkan kecuali kita menerima berita baik itu. Bot penyelamat yang telah dihulurkan Tuhan kepada kita ialah Yesus.

Kita yang percaya kepada Yesus mungkin perlu diingatkan akan kebenaran yang luar biasa ini: melalui rahmat Tuhan, kita ialah orang yang terselamat. Mereka yang masih belum menemukan Yesus dalam gelora kehidupan mungkin harus segera naik ke dalam bot penyelamat itu.