Seorang penumpang yang tinggi lampai kelihatan bangun perlahan-lahan untuk berdiri di lorong pesawat kecil yang kami tumpangi. Saya ternampak buku yang sedang dibacanya bertajuk Be Like Jesus (Menjadi Seperti Yesus). Beberapa minit kemudian, saya melihat lelaki itu bertolak-tolakkan dengan orang lain untuk mencapai begnya yang berada di atas troli. “Menjadi seperti Yesus?” desus hatiku. Saya tidak tahu jika lelaki itu benar-benar “saudara seiman” yang mengenal Kristus. Saya berasa kecewa dengan sikapnya yang mementingkan diri kerana ini tidak mencerminkan Yesus.

Ketika kaki saya menginjak eskalator, saya melihat lelaki itu lagi, dengan kulit buku yang masih jelas kelihatan. Kata-kata tersebut seperti mengetuk hati saya sendiri: Menjadi seperti Yesus, Elisa. Jangan menghakimi. Saya tertanya-tanya, adakah saya sendiri mencerminkan apa-apa seperti Yesus dalam hidup saya?

Menjadi seperti Yesus ialah satu proses perubahan dalaman—seperti metamorfosis—iaitu Tuhan menambahkan sifat-Nya dalam diri kita apabila kita berserah kepada kehendak-Nya. Paulus menulis bahawa orang percaya dalam Yesus “diubah menjadi serupa dengan-Nya dalam kemuliaan yang kian besar, oleh Roh Tuhan” (2 Korintus 3:18). Yohanes berasa takjub bahawa betapa sukarnya hal ini untuk kita fahami—apatah lagi mencapainya: “Sekarang ini kita anak-anak Allah, tetapi belum nyata bagaimana keadaan kita kelak. Tetapi kita tahu bahawa apabila Kristus datang, kita akan menjadi seperti-Nya [dalam kesucian], kerana kita akan melihat-Nya dalam keadaan-Nya yang sebenar” (1 Yohanes 3:2-3).

Ketika eskalator membawa kami turun, saya memandang lagi buku itu. Be Like Jesus—kata-kata itu memberi makna baru bagi saya dan mengarahkan pandangan saya ke hati dan kehidupan saya sendiri.