Berhampiran dengan rumah kami ada sebuah taman yang terkenal. Di situlah kami sering pergi untuk berjalan-jalan bersama seorang budak lelaki jagaan keluarga kami. Budak itu paling suka kawasan Taman Kanak-kanak yang ada pintu kecil. Dia boleh berlari masuk dengan mudah, tetapi orang dewasa terpaksa mencangkung dan merangkak untuk masuk. Dia ketawa semasa saya merangkak masuk dan keluar terkedek-kedek untuk mengejarnya.
Pintu kecil di taman itu mengingatkan saya kepada ajaran Yesus dalam Matius fasal 18. Dia memanggil seorang kanak-kanak kecil ke sisi-Nya untuk menerangkan jenis orang yang akan memasuki kerajaan syurga (ayat 2). Itu satu contoh yang berani, kerana pada zaman Kristus, kanak-kanak adalah tidak penting dan diketepikan. Tidak seperti hari ini, pendapat dan keinginan mereka pada zaman itu tidak dititikberatkan. Yesus menggunakan gambaran ini untuk menekankan kecenderungan kita sebagai manusia untuk mendapatkan perhatian dan menginginkan kuasa serta pengaruh.
Sudah tentunya Yesus tidak meminta murid-murid-Nya untuk menjadi kanak-kanak semula, tetapi memanggil orang yang melayani Dia untuk memiliki ciri-ciri seperti mereka. Salah satu ciri yang terpenting ialah kerendahan hati (ayat 4), dan melayani orang lain.
Pintu taman kecil merupakan peringatan bahawa kerendahan hati tidak datang secara semula jadi kepada kita. Bagaimanapun, orang yang percaya kepada Yesus harus bersifat sedemikian. Kita harus mengikut contoh Penyelamat kita, yang meneladankan cara hidup ini dengan “mengetepikan martabat diri-Nya, mengambil bentuk seorang hamba” (Filipi 2:7).
