Selepas bertahun-tahun bergelut dan berseru dalam berdoa, Frank akhirnya berhenti tabiat minum arak. Dia percaya bahawa kejayaannya itu adalah kerana pertolongan Tuhan dalam hidupnya. Akan tetapi, dia juga membuat beberapa perubahan penting. Dia tidak lagi menyimpan arak di rumah, berhati-hati dengan tanda-tanda amaran dalam perasaan dan fikirannya, dan mengelakkan keadaan yang boleh membuatkan dia tergoda. Dia bergantung pada Tuhan dan tahu bahawa dia tidak boleh memberi peluang kepada godaan atau dosa.

Rasul Petrus memberi amaran ini, “Kawallah dirimu dan berwaspadalah, kerana musuhmu Iblis merayau seperti singa yang mengaum mencari mangsa” (1 Petrus 5:8). Petrus tahu bahawa kita perlu berwaspada kerana serangan Iblis selalunya tidak dijangka—apabila hidup kita nampaknya baik sekali, atau kita memikirkan kita tidak akan tergoda dalam aspek tertentu.

Yakobus juga memperingatkan para pembacanya untuk taat kepada Tuhan dan “lawan Iblis”. Apabila kita melakukannya, musuh kita “akan lari” (Yakobus 4:7). Cara terbaik untuk menentang Iblis adalah dengan mendampingi Tuhan melalui doa dan masa menelaah Kitab Suci. Apabila kita berbuat demikian, Tuhan mendampingi kita (ayat 8) melalui Roh Kudus (Roma 5:5). Yakobus juga menawarkan dorongan ini: “Rendahkan dirimu di hadapan Tuhan, maka Dia akan meninggikanmu” (Yakobus 4:10).

Setiap kita menghadapi saat-saat yang mencabar dalam hidup apabila kita tergoda dan bergelut. Bagaimanapun, kita boleh lega kerana mengetahui bahawa Tuhan mahu kita berjaya dan mengatasi cabaran kita. Dia bersama kita dalam kesusahan kita.