Salah sepucuk surat cinta yang paling dramatik dan penuh misteri sepanjang zaman ditulis oleh seorang komposer yang bernama Ludwig van Beethoven, dan hanya ditemui selepas dia meninggal dunia pada tahun 1827. Surat tulisan tangan yang kelihatan ditulis dengan tergesa-gesa ini mengandungi ayat-ayat cinta yang sangat mendalam, seperti “Kekasihku yang kekal abadi… Aku hanya boleh hidup sepenuhnya bersamamu atau tidak sama sekali.” Namun amat menyedihkan, surat itu nampaknya tidak pernah dihantar, dan sehingga hari ini, tidak diketahui siapakah yang sepatutnya menerima surat tersebut.
Surat Beethoven sangat dihargai oleh para pembaca kerana ramai orang dapat merasakan kerinduannya yang kuat untuk dicintai. Manusia sering mencari kasih sayang dan kebahagiaan melalui orang lain, benda, dan pengalaman, tetapi semua itu tidak dapat memuaskan hati kita sepenuhnya. Namun, kasih Tuhan kepada umat-Nya adalah jauh lebih besar daripada cinta romantik yang sementara antara manusia. Tuhan menunjukkan kasih yang sangat besar itu bukan sahaja untuk umat-Nya, tetapi demi kebaikan semua orang. Melalui nabi Yeremia, Tuhan berfirman, “Aku mengasihi engkau dengan kasih yang kekal, sebab itu Aku menuntun engkau dengan kasih abadi” (Yeremia 31:3). Oleh sebab kasih Tuhan yang besar, Dia berjanji akan memberi umat-Nya masa depan yang penuh ketenangan dan rahmat (ayat 2) dan memulihkan semula apa-apa yang telah hancur (ayat 4). Walaupun bangsa Israel sering menolak Tuhan dan memberontak, Tuhan tetap berjanji untuk membawa mereka kembali kepada-Nya (ayat 9).
Bertahun-tahun kemudian, kasih kekal abadi yang sama itu mendorong Yesus untuk menanggung kematian bagi orang berdosa, bahkan ketika kita belum lagi membalas kasih-Nya (Roma 5:8). Kita tidak perlu mencari kasih atau berusaha untuk mendapatkannya. Kita sudah dikasihi dengan kasih yang kekal!
