Sejak kecil, sepupu saya tinggal hanya 3 km jauhnya dari rumah kami. Namun mereka tidak dibenarkan untuk berinteraksi dengan keluarga saya. Mereka tidak pernah datang ke pertemuan atau bercakap dengan kami di kedai runcit tempatan. Ibu bapa mereka berkata, itu disebabkan pada masa yang lalu, kami tidak menghadiri gereja, maka kami telah menjadi pengaruh buruk bagi mereka. Jadi anda boleh membayangkan betapa kejutnya saya apabila seorang sepupu menghadiri pengebumian abang sulung saya selepas bertahun-tahun kemudian! Dia mendekati kami seorang demi seorang dan memohon maaf atas sikap mereka dengan rendah hati. Hubungan kami dengannya mula dipulihkan semula.

Yakub juga perlu merendahkan diri untuk cuba berdamai dan berbaik semula dengan Esau, abang kembarnya. Yakub, anak kedua, telah bersubahat untuk menentang Esau: Dia mencuri hak abangnya sebagai anak sulung (25:19-34) dan menipu bapanya yang sudah tua untuk memberinya berkat sebagai anak sulung (26:34–27:40). Dengan berang, Esau mengancam untuk membunuhnya, menyebabkan Yakub melarikan diri ke negeri lain.

Bertahun-tahun kemudian, Yakub ingin pulang tetapi takut perselisihan yang mendalam antara dia dan abangnya tidak akan diselesaikan tanpa pertumpahan darah (32:6-8). Apabila dia dan Esau akhirnya bertemu, dia dengan rendah hati “sujud tujuh kali memberi hormat sehingga dia dekat dengan abangnya” (33:3). Yakub takut Esau akan membunuhnya, sebaliknya Esau berlari lalu “memeluknya” (ayat 4).

Sama ada kita telah melukakan orang lain atau telah dilukakan, kita memerlukan kerendahan hati, keterbukaan, dan selalunya memerlukan banyak usaha untuk memulihkan kesakitan emosi itu. Namun Tuhan kita yang setia sanggup dan akan menolong kita.