Pada tahun 1957, Woody Cooper berdiri dalam kalangan perusuh yang bising pada hari Dorothy Counts, iaitu seorang gadis berkulit hitam, mendaftarkan diri di sebuah sekolah menengah di North Carolina yang semua pelajar terdiri daripada orang putih. Sambil mengejeknya, beberapa orang budak lelaki menjerit kata-kata perkauman dan membaling sampah ke arah Dorothy, tetapi Woody tidak menegur mereka, malah berdiam diri apabila seorang wanita menjerit, “Ludahi dia!” Dia kemudian bertanya kepada dirinya sendiri, Mengapakah kamu tidak mengatakan sesuatu? Dia hanya seorang biasa yang ingin belajar di sekolah. Setelah dihantui oleh dosanya selama beberapa dekad kerana tidak melakukan apa yang seharusnya dilakukan, terutamanya apabila melihat dirinya muncul dalam foto berita pada hari rusuhan tersebut, akhirnya Woody menghubungi Dorothy empat puluh sembilan tahun kemudian untuk meminta maaf.

Seperti yang dipelajari oleh Woody, menunjukkan kasih dan sokongan sesama manusia bukan sekadar berani; ia juga mengenai membuat pilihan untuk menjadi seperti Yesus. Rasul Yohanes mengajarkan pelajaran ini kepada gereja-gereja yang dibebani oleh ajaran palsu tentang Kristus dan kasih-Nya.

Yohanes menulis, “Kita mengasihi sesama manusia kerana Tuhan terlebih dahulu mengasihi kita. Jika sesiapa berkata, ‘Aku mengasihi Allah,’ tetapi dia benci akan saudaranya, dia seorang pendusta” (1 Yohanes 4:19-20). Yohanes mengingatkan hukum yang terutama ini: “Sesiapa yang mengasihi Allah mesti mengasihi saudaranya juga” (ayat 21).

Woody dan Dorothy mencerminkan kasih itu apabila mereka menjadi kawan rapat. Mereka berceramah di gereja dan sekolah bersama-sama. Pada malam sebelum Woody meninggal, Dorothy datang melawat dia. “Saya mengasihi Woody,” katanya, “dan saya tahu dia juga mengasihi saya.” Itulah kasih yang diteladani oleh Yesus. Kita juga boleh menunjukkan kasih sedemikian, apabila kasih Tuhan telah mengubah dan menyatukan kita.