Fikiran saya terbuntu. Masa itu saya telah menulis separuh daripada artikel renungan. “Ya Tuhan, apakah yang harus aku lakukan?” Saya berdoa. Saya teringat pernah membaca sebuah penyelidikan yang melaporkan bahawa hasil kreatif kita akan dirangsang sebanyak 60 peratus secara purata apabila kita berjalan, maka saya menuju ke denai di belakang rumah saya dan meneruskan perbualan saya dengan Tuhan. Tiga puluh minit kemudian minda saya segar semula. Saya kembali ke papan kekunci saya dan menyiapkan penulisan tersebut.

Dalam 2 Raja-Raja 4:18-35, kita membaca bahawa Elisa dan hambanya, Gehazi, menjawab permohonan seorang wanita Sunem untuk menolong anaknya yang sudah mati (4:20-35). Atas arahan Elisa (ayat 29), Gehazi meletakkan tongkatnya pada anak itu (ayat 31). Elisa berdoa. Kemudian dia membaringkan diri di atas anak itu. Akhirnya, “Elisa … berjalan mundar-mandir di dalam rumah itu. Kemudian dia naik lagi dan meniarap di atas anak itu. Budak itu … membuka matanya” (ayat 35).

Kitab Suci tidak memberitahu kita sebabnya Elisa “berjalan mundar-mandir,” dan tidak menyatakan apa yang difikirkannya. Apa yang kita tahu ialah apabila doa Elisa tidak dikabulkan, dia tidak berputus asa. Tidak sukar untuk membayangkan sebabnya dia bercakap dengan Tuhan dalam keadaan mendesak seperti ini.

Apakah yang anda lakukan apabila anda terperangkap di jalan buntu dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan? Mungkin “berjalan sambil berdoa” ialah pilihan terbaik. Sama ada kita pergi ke denai untuk berjalan-jalan atau mundar-mandir di rumah kita, berhubung dengan Tuhan pada saat kita memerlukan akan membawa jawapan yang dapat menangani keadaan kita.