Pada Januari 1967, bandar Winneconne mendapati bahawa namanya telah dipadam secara tidak sengaja daripada peta jalan rasmi negeri Wisconsin, akibatnya hasil kutipan pelancongan di bandar itu merosot. Oleh itu, bandar tersebut telah memutuskan untuk berpisah daripada Wisconsin dan menjadi negeri yang berdaulat pada 21 Julai tahun itu. Ada yang mengatakan pemisahan itu ialah satu tindakan untuk memalukan kerajaan negeri, sementara yang lain menganggapnya sebagai tindakan jenaka. Bagaimanapun, rundingan selama berbulan-bulan akhirnya menyatukan semula negeri dan bandar itu pada 22 Julai 1967.
Kebanyakan perpecahan tidak berakhir dengan baik atau diselesaikan semudah itu. Perpecahan adalah ancaman yang besar sehingga kitab Amsal menyenaraikan “orang yang menimbulkan perbalahan” (6:19) sebagai salah satu “tujuh perkara yang menjadi kekejian bagi [Tuhan]” (6:16).
Perpecahan bukan sahaja menimbulkan masalah tetapi juga memberikan gambaran yang salah tentang Yesus dan Bapa-Nya. Malam sebelum Dia disalib, Kristus berdoa agar para pengikut-Nya menjadi satu di dalam Dia, “Dengan demikian dunia dapat percaya bahawa Engkaulah yang telah mengutus-Ku” (Yohanes 17:21).
Yesus menyatakan dengan jelas bahawa perpaduan kita sebagai saudara dan saudari dalam Kristus (atau kekurangannya) memberi kesan kepada kepercayaan dunia kepada-Nya! Mungkin itulah sebabnya Paulus memberitahu jemaah di Efesus supaya “berusaha memelihara perpaduan dalam Roh dengan ikatan sejahtera” (Efesus 4:3). Semoga kita membenarkan Roh Kristus menjadikan kita satu—agar dunia tertarik kepada-Nya.
