Taman Bunga Grand Ideas dan sebuah penjara daerah terletak bersebelahan di Ball Street di bandar saya. Rakan saya Joann suka kedua-dua tempat ini. Dia suka duduk di taman itu sambil memikirkan kebaikan Tuhan dan kasihnya kepada-Nya kerana apa yang telah dilakukan-Nya dalam hidupnya. Dia juga suka berkongsi dengan banduan wanita di penjara dan menceritakan kisahnya tentang bagaimana Tuhan telah menebus hidupnya, selepas banyak pilihan yang buruk dan kehidupan yang menjauhi-Nya. Sering kali, dia akan memberitahu saya tentang impiannya: suatu hari nanti dia berharap semua wanita di sana akan sendiri memahami dan mengalami kasih Tuhan untuk mereka.

Pemazmur memberitahu umat Israel untuk menceritakan kisah mereka tentang bagaimana Tuhan menebus mereka daripada musuh mereka (Mazmur 107:2). Mereka pernah “merayau di padang gurun,” “lapar dan dahaga, jiwa mereka tidak bermaya” (ayat 4-5). Ada kalanya mereka memberontak terhadap Tuhan, dan Dia mendisiplinkan mereka (ayat 10-12). Namun setiap kali “mereka berseru kepada TUHAN dalam kesusahan mereka, … Dia menyelamatkan mereka daripada segala keazaban mereka” (ayat 6). Mereka mempunyai banyak hal untuk bersyukur kepada Tuhan dan untuk diceritakan dengan orang lain. Seperti apa yang dipelajari oleh bangsa Israel dan apa yang kita juga boleh pelajari, kasih-Nya tidak pernah meninggalkan kita.

Kita juga boleh mengambil peluang untuk “memerhatikan semua ini dan akan mengerti kasih TUHAN” terhadap kita (ayat 43), syukurlah kepada-Nya, dan menceritakan kisah kita sendiri tentang penyelamatan-Nya kepada orang lain.