The Wild One ialah sebuah filem pada tahun 1953 yang dibintangi oleh Marlon Brando sebagai Johnny Strabler, seorang ketua geng motosikal yang bermasalah dan termenung. Dalam satu adegan, seorang wanita muda melihat jaket ahli kumpulan dengan huruf B.R.M.C. Apabila dia mengetahui bahawa huruf R ialah singkatan untuk “pemberontak (rebels),” dia ketawa dan menyentuh lengan Brando sambil Brando menepuk dram dengan santai. “Hei, Johnny. Kamu memberontak terhadap apa?” Dia menjawab, “Apa yang kamu ada? Aku akan memberontak itu juga!”
Inilah penerangan yang tepat tentang masalah kita! Kita dilahirkan dengan kecenderungan untuk menegaskan pendirian kita sendiri. Kita mahu berkuasa atas apa sahaja, sebaik-baiknya dengan mengikut kehendak kita. Jika itu tidak berjaya, kita akan menegaskan kehendak sendiri dengan melengahkan sesuatu secara sengaja. Apa tujuannya? Memberontak.
Mengapakah Israel secara bodoh menyembah berhala “batu dan kayu” (Yeremia 3:9)? Dan mengapakah “saudara perempuannya yang khianat” hanya berpura-pura kembali kepada Tuhan (ayat 10)? Kerana itulah cara mereka menyatakan keenganan mereka untuk bersandar pada Tuhan—“mengikuti kedegilan hati mereka yang zalim” (ayat 17). Tujuannya adalah untuk memberontak dan menentang.
Tetapi kasih Tuhan lebih kuat. Yesus mati untuk pemberontak dan membiarkan pintu terbuka supaya mereka kembali. “‘Kembalilah, wahai Israel, perempuan murtad,’ demikianlah firman TUHAN , ‘Aku tidak akan memandang kamu dengan murka, kerana Aku ini pemurah,’ … Hanya, akuilah kesalahanmu, bahawa engkau telah menderhaka terhadap TUHAN, Allahmu’” (ayat 12-13).
Kita mungkin dilahirkan sebagai pemberontak, tetapi kita boleh kembali. Mari kita lari pulang kepada Bapa kita, yang kita boleh mendapat pengampunan, kasih sayang, dan pertolongan-Nya.
